Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang melalui kemerdekaan ini. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara. Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah. Dalam menghadapi cabaran era globalisasi kini, nikmat kemerdekaan perlu dijadikan sebagai salah satu penanda aras untuk memacu negara ke arah kegemilangan.